Followers

Friday, December 25, 2009

rencana tentang hari guru

Menjelang 16 Mei depan, sekali lagi seluruh Negara akan memberikan penghormatan kepada kaum guru. Tarikh keramat ini ialah tarikh sambutan Hari Guru.
Pelbagai acara diatur bagi menyambut Hari Guru pada setiap tahun. Selain itu, satu tema akan dipilih untuk sambutan saban tahun. Tema sambutan tahun ini ialah "guru pemangkin kegemilangan". Tema ini dipilih bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap peranan yang dimainkan oleh kaum guru dalam membangunkan Negara, peranan guru tidak dikesampingkangkan, lebih-lebih lagi dalam menuju wawasan 2020.
Sesungguhnya peranan guru semakin mencabar pada alaf baru. Pelbagai tugas dan cabaran menanti kaum guru. Umumnya, bidang tugas guru pada hari ini lebih luas berbanding dengan guru pada zaman lampau. Tambahan pula, tuntutan para pelajar dan ibu bapa masa kini adalah lebih mencabar hingga kadang kala mematahkan semangat guru yang kurang mempunyai daya tahan dan keazaman. Apapun, tugas guru kini banyak berbeza daripada rakan-rakan setugas mereka 50 tahun yang lampau. Tegasnya, untuk menjadi seorang guru yang efektif dan berjaya kini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
Kini tugas guru bukan hanya terbatas dalam bilik darjah sahaja. Selain, tugas mengajar, guru dibebani pelbagai tugas lain seolah-olah tidak relevan dengan tugas hakiki profesion. Antaranya, tugas perkeranian seperti mengutip yuran sekolah, yuran PIBG, dan yuran sukan, merekod markah pelajar, mendisilinkan eljar, menganjurkan jogathon dan banyak lagi. Sebenarnya senarai ini berjela-jela sekiranya kita ingin menyenaraikan tugas guru. Namun, kaum guru hanya dapat merintih akan segala tanggungjawab tambahan ini secara senyap-senyap. Kebanyakan mereka sanggup melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa banyak soal demi keselesaan para pelajar.
Pada hemat saya, masyarakat harus menghargai segala pengorbanan yang dicurahkanoleh kaum guru selama ini. Pepatah Melayu ada menyebut "Guru ibarat lilin yang menerangi orang lain, tetapi membakar diri sendiri". Begitulah besarnya pengorbanan guru dalam kehidupan seseorang pelajar.
Namun begitu, pelajar dan masyarakat jarang menghargai sumbangan kaum guru terhadap pembangunan Negara. Sebaliknya, yang kerap diungkitkan ialah kealpaan dan kecuaian guru dalam menjalankan tugas. Pandangan ini bukanlah untuk melindungi sebarang salah laku.memang tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir "kambing hitam" dalam profesion perguruan yang menjejaskan martabat dan keunggulan profesion perguruan keluruhannya. Salah laku atau kecuaian mereka sering dikaitkan dengan seluruh anggota profesion ini. Perlabelan secara melulu ini emanglah tidak adil sama sekali.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa peranan guru dewasa ini lebih berupa tugas pembangunan kemanusiaan yang tentunya memerlukan lebih masa yang agak panjang untuk melihat kesannya. Oleh hal yang demikian, masyarakat khasnya kalangan ibu bapa haruslah bersabar malah bersama-sama berganding bahu dengan kaum guru untuk membentuk sahsiah pelajar. Tanpa kerjasama dua hala, sukar bagi guru menjalankan tugas Murni ini. Janganlah hendaknya kita hanya pandai menunding telunjuk kepada guru setiap kali berlaku kes salah laku disiplin pelajar. Yang lebih penting ialah kita perlu sama-sama meneroka punca dan sebab-sebab sesuatu tingkah laku pelajar yang kurang menyenangkan. Dengan cara ini, barulah akan wujud persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa untuk sama-sama membina pelajar yang berdisplin, berketrampilan, bertanggungjawab, berwawasan, komited, beramanah dan jujur terhadap dirinya sendiri.
Tegasnya, jasa bakti yang ditabur oleh guru tidak dapat dilihat kesannyan dalam tempoh jangka pendek. Kesan bimbingan dan asuhan guru hanya akan jelas kelihatan selepas suatu jangka masa yang panjang. Justeru, para ibu bapa dan masyarakat sewajarnya menghargai sumbangan bakti kaum guru dalam mendidik anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment